MESTI TAHU! 10 Soalan Sebelum Anda Masuk Meminang
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan
cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui
mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan
dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan
berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya
mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas
mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza,
umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan
nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah
semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan
dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari
dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan
mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana
kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan
dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak
pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan
yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya
mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu
lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak
akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah
kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau
kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui
adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal
diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan
boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka
bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan
pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat.
Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar
didampingi. Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli
keluarganya?
Perkahwinan bukan sekadar aqad yang
mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan
kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal
tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka
antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak
menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana
dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang
memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta
cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan
atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan
mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan
wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati
sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup
sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang
zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya
ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi
yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur
walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang
yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu
bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan
yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk
melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda
mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan